DATUK BANDAR JB BERI UCAPTAMA SME’S SDG FESTIVAL 2022


Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman menyampaikan ucaptama pada SME’S SDG Festival / Foto Ihsan MBJB.

 

JOHOR BAHRU — Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman dijemput bagi menyampaikan ucaptama sempena SME’S SDG Festival di Hotel Opero di sini, semalam.

SME’S SDG Festival 2022 anjuran UN Global Compcts Network Malaysia & Brunei itu bertujuan berkongsi dan bertukar pandangan bagi sektor ekonomi yang berfokuskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia juga bermatlamat melestarikan agenda ‘sustainable development goal’ yang dipromosikan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini.

Dalam ucaptamanya, Mohd Noorazam berkata sebagai sebuah organisasi kerajaan tempatan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adalah antara pemacu utama dalam memainkan perananan untuk menggerakan agenda SGD ini.

Katanya, ia dilaksanakan dengan kerjasama bersama agensi swasta dan masyarakat bagi meningkatkan tahap mutu ekonomi tempatan serta memelihara keseimbangan kualiti hidup warga bandaraya.

“Pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat bagi PKS haruslah berevolusi seiring dengan usaha memulihara alam sekitar, sosial, kerajaan serta membina kestabilan dari semua sudut bagi menjamin tahap kehidupan sejagat yang mampan.

“Menerusi kestabilan yang utuh, ia diyakini mampu untuk meningkatkan daya saing yang sihat antara semua pihak terutama PKS dan pada masa sama memberi ruang serta peluang yang baharu sebagai pemangkin pembangunan masa depan,” katanya.

Mohd Noorazam berkata, menerusi agenda ‘The Greater Johor Bahru’ ini, semua pihak perlu menanamkan azam dan membawa sifat serta pemikiran itu dalam masyarakat setempat terutama matlamat ke arah penggunaan teknologi hijau kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor