JOHOR PERKETAT KAWALAN, LINDUNGI PELUANG NIAGA RAKYAT TEMPATAN

Bagi tempoh tahun 2025 hingga September 2026, sebanyak 1,092 sitaan, 211 notis dan 511 kompaun telah direkodkan menerusi tindakan penguatkuasaan PBT dengan nilai keseluruhan kompaun mencecah RM324,500. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Amaran tegas akan diberikan terhadap pemegang lesen perniagaan yang melakukan kesalahan berulang dalam menyalahgunakan lesen, termasuk menyewa atau menyerahkan pengendalian premis kepada warga asing tanpa kebenaran.
Kerajaan Johor tidak sesekali akan berkompromi dan tegas untuk memastikan tindakan penggantungan serta pembatalan lesen boleh dikenakan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa apabila kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor tidak pernah meluluskan lesen penjaja kecil kepada warga asing untuk berniaga di pasar pagi, pasar malam mahupun pasar tani.
Bagi tempoh tahun 2025 hingga September 2026, sebanyak 1,092 sitaan, 211 notis dan 511 kompaun telah direkodkan menerusi tindakan penguatkuasaan PBT dengan nilai keseluruhan kompaun mencecah RM324,500.
Kerajaan Negeri turut merancang penyelarasan syarat pelesenan di semua PBT termasuk mengutamakan warganegara Malaysia sebagai pekerja juruwang, memastikan pekerja asing memiliki dokumen serta permit kerja yang sah dan mewajibkan pemilik premis mengemukakan senarai pekerja asing kepada pihak PBT.
Selain itu, pendekatan penguatkuasaan berasaskan kawasan hotspot akan diperkasakan apabila sebanyak 290 hotspot telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti perniagaan bagi membolehkan pemantauan dan operasi dilaksanakan secara lebih bersasar.
Kawalan zon perniagaan juga akan diteliti bagi mengelakkan lambakan premis sejenis, selain turut memperketat pengesahan pemegang lesen dan pengendali sebenar premis bagi membanteras amalan menyewakan atau menyerahkan lesen kepada pihak lain tanpa kebenaran.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri Johor menjawab mengenai isu penglibatan warga asing dalam perniagaan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


