KERAJAAN NEGERI TAMBAH RM6 JUTA LAKSANA JUALAN KASIH JOHOR DISEMBER INI

Menerusi tambahan peruntukan berkenaan, pelaksanaan JKJ pada Disember ini akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menambah peruntukan sebanyak RM6 juta bagi pelaksanaan Jualan Kasih Johor (JKJ) pada Disember ini, sekali gus membolehkan 173,000 Bangsa Johor menikmati manfaat daripada program berkenaan.
Peruntukan tambahan itu dibuat susulan pandangan serta cadangan yang dibawa oleh 11 Ahli Dewan Negeri Johor berkaitan pelaksanaan JKJ, dalam usaha memastikan program berkenaan terus memenuhi keperluan rakyat.
Langkah tersebut turut memperlihatkan pendekatan Kerajaan Negeri yang mengambil kira suara rakyat dalam menambah baik pelaksanaan inisiatif yang telah banyak membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Menerusi tambahan peruntukan berkenaan, pelaksanaan JKJ pada Disember ini akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Pada Belanjawan Johor 2027 yang dibentangkan sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk memperluas JKJ daripada 336 kepada 748 lokasi di seluruh negeri pada tahun hadapan.
Penambahan peruntukan tersebut merupakan antara langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan manfaat JKJ dapat dinikmati pada skala lebih besar, selaras dengan keperluan rakyat serta peningkatan kos sara hidup semasa.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



