KERAJAAN JOHOR, PR1MA BELA NASIB PEMBELI PROJEK ‘SAKIT’


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor | Sumber Facebook Mohd Jafni Md Shukor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berusaha melaksanakan koordinasi bersama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bagi membela dan melindungi nasib 625 pembeli projek Residensi PR1MA Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, dengan komitmen tersebut, pembeli projek perumahan itu dijangka akan menerima kunci kediaman masing-masing sedikit masa lagi.

Menurutnya, beliau bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dan PR1MA telah mengadakan sesi townhall bersama pembeli projek tersebut pada 14 November lalu.

“Townhall ini adalah bagi membantu PR1MA memberi penjelasan dan status terkini projek PR1MA Kota Tinggi kepada pembeli.

“Pihak saya bersama PKPJ telah melaksanakan ‘follow up’ secara agresif terhadap status terkini kemajuan projek SAKIT Residensi PR1MA Kota Tinggi yang telah 29 bulan tertangguh,” katanya dalam Facebook rasminya.

Memaklumkan kronologi inisiatif yang telah dilakukan, Mohd Jafni berkata, beliau mengadakan mesyuarat kemajuan kerja bersama pasukan penyelamat PR1MA pada 20 September lalu.

Ujarnya, mesyuarat yang turut melibatkan PKPJ, Majlis Daerah Kota Tinggi serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) itu diadakan setelah siri mesyuarat pertama dan pertemuan bersama pembeli pada bulan Mei lalu.

“Isu-isu besar berkaitan IWK, TNB dan beberapa perkara lain telah selesai. Mesyuarat seterusnya adalah pada 26 September 2022 bersama Majlis Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan perkara di bawah bidang kuasa JKR.

“Pihak PR1MA seterusnya bermesyuarat bersama PKPJ, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan JUPEM pada 28 September 2022 bagi penyelesaian isu berbangkit melibatkan bidang kuasa PTG.

“Bagi penyelesaian isu bidang kuasa JKR, pihak PR1MA telah bermesyuarat bersama JKR Negeri dan PKPJ pada 29 September 2022,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor