KERAJAAN JOHOR UMUM CUTI GANTIAN 20 NOVEMBER INI
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bersetuju menggantikan Hari Kelepasan Am pada Jumaat, dengan cuti gantian pada 20 November ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cuti gantian itu dipersetujui setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor.
Menurut beliau, cuti gantian itu juga sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Johor yang keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Rakyat Malaysia akan sekali lagi menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November 2022.
“Bagi memudahkan lagi usaha ini, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri telah mengumumkan Hari Pelapasan Am pada 18 dan 19 November (Jumaat dan Sabtu).
“Bagi Hari Kelepasan Am yang jatuh pada 18 November, setelah mendapat perkenanan DYMM Tuanku Sultan Johor, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menggantikannya dengan cuti gantian pada 20 November (Ahad),” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.
Onn Hafiz berkata, setiap undi rakyat Johor akan memastikan proses demokrasi dan pembangunan negara terus berkembang.
“Ini adalah demi kesejahteraan hidup rakyat di Johor dan Malaysia amnya, melangkaui lima tahun akan datang,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor