APRESIASI PENGIKTIRAFAN TAMAN NEGARA JOHOR ENDAU-ROMPIN SEBAGAI ASEAN HERITAGE PARKS


Majlis Apresiasi Pengiktirafan Taman Negara Johor Sebagai ASEAN Heritage Parks | Sumber PTNJ.

 

ISKANDAR PUTERI — Pengiktirafan Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai ASEAN Heritage Parks (AHP) Ke-51, baru-baru ini, menjadi kejayaan buat Kerajaan Johor dalam meningkatkan pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti.

Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dalam satu kenyataan sempena Majlis Apresiasi Pengiktirafan Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai AHP, hari ini, memaklumkan pengiktirafan itu juga merupakan kejayaan kepada negara.

“Pada masa yang sama, kejayaan ini meningkatkan imej Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai kawasan berkepentingan biodiversiti di peringkat serantau,” jelas PTNJ.

PTNJ memberitahu Majlis Apresiasi Pengiktirafan Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai AHP diadakan bertujuan meraikan dan memberi penghargaan kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada kejayaan tersebut.

“Pihak PTNJ juga amat berterima kasih kepada semua kakitangan PTNJ yang bertungkus lumus dalam memastikan semua keperluan pendokumentasian dicapai dalam mendapatkan pensijilan ini.

“PTNJ berharap pengiktirafan Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai AHP akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan usaha-usaha pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti di negara ini,” jelas PTNJ lagi.

Selain itu, PTNJ turut melaungkan komitmen untuk terus memberi fokus dalam usaha pemeliharaan dan berharap pihak berkepentingan dapat menyokong usaha yang dilaksanakan bagi memastikan khazanah biodiversiti negeri terus terpelihara.

Hadir menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Pengiktirafan Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai AHP adalah Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim selaku wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

Terdahulu, Taman Negara Johor Endau-Rompin menerima pengiktirafan antarabangsa selepas diisytiharkan sebagai AHP Ke-51 sempena Persidangan Taman Warisan ASEAN Ke-7 di Bogor, Indonesia, baru-baru ini.

Taman Negara Johor Endau-Rompin merupakan kawasan AHP ke-empat di Malaysia selepas Taman Negara Gunung Mulu (Sarawak), Taman Negara Kinabalu (Sabah) dan Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu).

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor