MODUL BERSESUAIAN SEDANG DIRANGKA – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sedang merangka modul bersesuaian bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan dan tanggungjawab pelajar terhadap memilih kepimpinan negara sejajar penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.

Langkah itu diusahakan melalui Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, selain itu, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama pintar dengan Institut Dato’ Onn (IDO).

“Penglibatan IDO adalah penting dalam penghasilan modul ini berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dipunyai oleh agensi ini,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan ADUN Panti, Hahasrin Hashim mengenai perancangan khusus dalam membangunkan modul khas bersifat politik dan kenegaraan kepada pelajar sekolah sejajar dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Norlizah berkata, buat masa ini, pelajar sekolah menengah didedahkan dengan Amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan melalui Kelab Malaysiaku yang terdapat di 73 sekolah di seluruh negeri ini.

Ujarnya, antara strategi yang dirangka dan disusun bagi memudahkan pelajar memahami perjalanan pemilihan kepimpinan di negara ini, adalah melalui proses pilihan raya.

“Setakat ini dengan kerjasama dari Akademi Pilihan Raya (APR), pelajar didedahkan dengan proses bagaimana sesuatu pilihan raya itu dijalankan di samping memberikan penekanan pentingnya untuk menjadi seorang pengundi yang bertanggungjawab di dalam memilih kepimpinan untuk menerajui negara di masa hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu JaPen Negeri Johor telah melaksanakan 20 program cambah minda atau taklimat isu semasa berkaitan Undi 18 dan tanggungjawab warganegara di politeknik, kolej komuniti dan tingkatan enam di seluruh Johor, pada tahun ini.

“Selain pendedahan berbentuk program, bahan-bahan sokongan yang menekankan kenegaraan juga telah disediakan dan sedang digunapakai di sekolah-sekolah menengah dan tingkatan enam. Bahan-bahan ini berbentuk modul pembelajaran seperti Buku Modul Pengajian Am dan Modul Sejarah.

“Bagi menyuburkan kemahiran dan pengetahuan murid, Kementerian Pendidikan juga mewujudkan Kelab Rukun Negara dan Persatuan Sejarah dan Kewarganegaraan yang bertujuan menyuburkan sifat sayang kepada negara, jati diri dan sifat patriotisme,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor