EXCO JOHOR DITAULIAH DAN DIIKTIRAF SEBAGAI JURUTERA ASEAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh ditauliah dan diiktiraf sebagai Jurutera ASEAN empena Conference of ASEAN Federation of Engineering Organisations yang sedang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja / Ihsan Mohamad Fazli Mohamad Salleh

 

ISKANDAR PUTERI — Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh hari ini ditauliah dan diiktiraf sebagai Jurutera ASEAN.

Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir menerima pengiktirafan itu sempena Conference of ASEAN Federation of Engineering Organisations yang sedang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

Berkongsi detik manis itu di laman Facebook peribadinya, Mohamad Fazli berkata kejayaan itu secara tidak langsung sebagai tanda pengiktirafan selama 12 tahun beliau berkecimpung dalam bidang berkenaan.

“Alhamdulillah. Hari ini saya ditauliah dan diiktiraf sebagai Jurutera ASEAN (ASEAN Engr.) sempena Conference of ASEAN Federation of Engineering Organisations di Phnom Penh, Kemboja.

“Ini sebagai tanda pengiktirafan kerjaya kejuruteraan saya di kalangan negara ASEAN setelah 12 tahun berada dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata, segala pengalaman yang diperolehinya selama ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“InsyaAllah dengan sedikit pengalaman yang ada, saya akan curahkan khidmat bakti untuk masyarakat demi kemajuan dan kemakmuran negeri dan juga negara,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor