JTK, PBT AMBIL SERIUS ISU KACAU GANGGU DI KALANGAN PEKERJA ASING


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor sentiasa mengambil serius isu kacau ganggu di penginapan pekerja asing termasuklah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pada masa sama, majikan perlu mematuhi kriteria di bawah Akta Standard-Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Akta ini telah menggariskan bahawa majikan perlu mematuhi kriteria-kriteria yang perlu diambil kira dalam pemilihan penempatan pekerja dan mematuhi peraturan undang-undang lain yang berkaitan.

“Contohnya undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin masalah moral dan keselamatan jalan raya yang ditimbulkan pekerja asing.

Mohd Hairi berkata, bagi isu keselamatan jalan raya, JTK percaya majikan telah memberikan pengetahuan dan pendedahan kepada pekerja berkenaan soal keselamatan.

Ujarnya, keselamatan dan kesihatan tidak terbatas di tempat pekerjaan sahaja, tetapi perlu diperluaskan di kawasan penginapan, ketika pergi dan pulang serta persekitaran.

“Statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga menyatakan bahawa dua daripada tiga kemalangan maut yang berlaku setiap hari adalah berpunca daripada kemalangan individu yang berulang alik ke tempat kerja,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu aduan kacau ganggu melibatkan pekerja asing banyak diterima oleh PBT dan perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak bahagian penguatkuasan yang sering berkerjasama dengan JTK Negeri Johor.

“Bahagian Penguatkuasaan PBT sering menjalankan kolaborasi bersama JTK Johor dalam membasmi masalah kacau ganggu dalam kalangan pekerja asing dengan penduduk tempatan terutamanya di kawasan perumahan pekerja.

“PBT yang banyak menjalankan kolaborasi bersama JTK Johor bagi menangani isu kacau ganggu ini adalah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu). Operasi penguatkuasaan yang dijalankan adalah berdasarkan aduan yang diteirma dan juga pemantauan berkala yang dijalankan,” katanya.

Isu kacau ganggu kebiasaannya adalah berkenaan bunyi bising, pergaduhan, kebersihan dan lain-lain.

Mohd Hairi juga memaklumkan kerajaan negeri melalui PERKESO sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan Orang Berinsurans (OB) termasuk pekerja asing menerusi kerjasama strategik bersama majikan, agensi berkaitan dan badan kerajaan.

“Antaranya adalah dengan melaksanakan dua program utama bersama majikan iaitu Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya oleh Pejabat PERKESO dan Program Sokongan Keselamatan Jalan Raya (CSSP) menerusi majikan dan pekerja.

“Berdasarkan statistik PERKESO, bilangan Program Advokasi dan Program CSSP bersama majikan yang telah diadakan di negeri Johor dari tahun 2018 sehingga 20 November 2022 adalah sebanyak 228 program,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor