KERAJAAN JOHOR CAKNA, PRIHATIN MENJAGA KEBAJIKAN GOLONGAN OKU


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 997 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) sejak tahun 2011 hingga Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, 177 OKU telah ditempatkan bekerja di sektor awam dan swasta.

Menurutnya, YPKDT juga telah memperkenalkan inisiatif memastikan OKU yang tidak dapat ditempatkan bekerja di sektor terbuka mendapat sumber pendapatan.

“Bermula pada tahun 2017 hingga 2018, Program Zero to Hero ‘Melestari Pembangunan Sosio-Ekonomi Orang Kurang Upaya’ telah diadakan dan seramai 136 OKU daripada pelbagai kategori telah mengikuti program tersebut.

“Pada 2019 hingga 2021, YPKDT telah memperkenalkan Program Latihan dan Promosi (PLP) bagi melatih golongan OKU mahir teknikal, ekonomi serta meningkatkan daya saling tenaga kerja tempatan dan banyak lagi.

“Seramai 144 OKU telah terlibat. Antara kursus yang dilaksanakan ialah housekeeping, baikpulih komputer, gajet, urutan dan spa dan banyak lagi,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz mengenai pelan bagi memperkasa golongan OKU untuk berniaga dari rumah disebabkan oleh akses mobiliti yang terbatas.

Khairin-Nisa berkata, ketika dilanda COVID-19 pada tahun 2020, PLP tetap diteruskan dengan pelaksanaan kursus asas kemahiran secara dalam talian dengan melibatkan 49 peserta.

Ujarnya, manakala pada tahun ini, Program Bangkit OKU telah diperkenalkan di mana seramai 85 orang mengikuti kursus yang dijalankan.

“Daripada jumlah keseluruhan OKU yang terlibat sejak 2017 hingga 2020, seramai 45 orang telah menerima bantuan peralatan perniagaan dan mereka berjaya menghasilkan pendapatan sendiri serta menggandakan hasil jualan.

“Sesungguhnya kerajaan negeri melalui JKM dan YPKDT sentiasa cakna dalam mengupayakan dan memajukan golongan OKU di Negeri Johor khususnya supaya mereka mampu mengharungi cabaran kehidupan dari sudut ekonomi untuk masa kini dan masa akan datang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor