PBT JOHOR SENTIASA PEKA MASALAH BANJIR KILAT


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor sentiasa peka dengan masalah banjir kilat yang sering berlaku terutama ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah, perancangan, persediaan dan pelaksanaan telah diambil oleh PBT Negeri Johor.

“Pertama, melantik kontraktor bagi kerja penggalian dan pembersihan sistem saliran bandar di bawah kawasan pentadbiran PBT. Kedua, memastikan infrastruktur seperti sistem saliran, kolam tadahan dan perangkap sampah diselenggara dengan baik.

“Ketiga, kerja penggalian dilaksanakan bagi memastikan kapasiti saliran mencukupi untuk menampung air sebagaimana rekabentuk, dan (keempat) pemantauan sepanjang 24 jam bagi kawasan rendah yang sebahagiannya mempunyai sistem operasi secara automatik,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Mahkota, Dato’ Sharifah Azizah Syed Zain mengenai perincian langkah, perancangan, persediaan dan pelaksanaan bagi menghadapi banjir kilat kesan perubahan iklim termasuk kedatangan musim tengkujuh oleh PBT di DUN Mahkota.

Mohd Jafni berkata, antara perancangan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) bagi persediaan menghadapi banjir kilat adalah mengadakan mesyuarat penyelarasan pengurusan bencana.

Ujarnya, ia bagi memastikan setiap jabatan di bawah MPK memahai dan menjalankan peranan masing-masing ketika menghadapi banjir termasuk persediaan logistik, petugas dan peralatan serta kerja pembersihan pasca banjir.

“MPK sentiasa memastikan kerja pembersihan longkah dilaksanakan dan dipantau secara kerap bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat.

“MPK akan memantau kawasan hotspot banjir dan menjalankan kerja bagi persediaan menghadapi banjir melalui peruntukan MPK atau jabatan atau agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, selain di bawah PBT, terdapat hotspot banjir yang melibatkan tanggungjawab dan penyeliaan agensi teknikal yang lain seperti di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor