UTHM TARIK MINAT ANAK ORANG ASLI KUASAI SAINS DAN MATEMATIK


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Gading Kencana mengadakan program menyantuni murid Orang Asli dari suku Semai di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Gedong, Bidor, Perak. / Pix Ihsan UTHM

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Gading Kencana baru-baru ini mengadakan program menyantuni murid Orang Asli dari suku Semai di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Gedong, Bidor, Perak.

Program khidmat komuniti UTHM itu membabitkan penyertaan 87 murid sekolah berkenaan yang bertujuan menarik minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi.

Ketua program berkenaan yang juga Ketua Jabatan Fizik dan Kimia FAST UTHM, Dr Afishah Alias, berkata program selama empat jam itu diisi dengan pelbagai aktiviti santai yang menguji minda murid berkenaan berkaitan sains dan matematik.

“Aktiviti ini dilakukan bagi menarik perhatian murid berkenaan dan secara tidak langsung mencambahkan minat dalam diri mereka untuk mendalami ilmu berkaitan sains dan matematik.

“Selain itu kita juga merangka model kapal terbang bagi menguji kreativiti mereka. Kita juga mengadakan eksperimen sains dan pengenalan matematik dari aras mudah ke sedehana dengan menggunakan model dan kertas latihan,” katanya dalam kenyataan kepada Media Digital Johor.

Dr Afishah berkata, selain itu menerusi program itu juga turut digunakan oleh pihaknya untuk meyelami kehidupan murid Orang Asli berkenaan bersama keluarga masing-masing.

“Apabila kita mengetahui murid berkenaan terpaksa menempuh pelbagai perjalanan sukar untuk ke sekolah seperti meredah hutan, bukit dan sungai demi menuntut ilmu, terbit rasa insaf dan muhasabah dalam diri kami semua.

“Ia sekali gus memberi kami semangat untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada murid berkenaan untuk memajukan diri mereka ke peringkat lebih tinggi bagi mengubah kehidupan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pos Gedong, Amir Hamzah berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur, gembira dan berterima kasih kepada UTHM kerana memilih sekolah berkenaan bagi mengadakan program berkenaan.

“Alhamdulillah, bagi pihak SKPG, kami melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada UTHM kerana menjalankan program yang bermanfaat seumpama itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor