KERAJAAN JOHOR, PERSEKUTUAN KOMITED ATASI KESESAKAN PINTU SEMPADAN
ISKANDAR PUTERI — Isu kesesakan pintu sempadan negara di negeri ini terutama Tambak Johor, sentiasa diberikan perhatian Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai langkah yang diambil bagi melancarkan aliran trafik kedua-dua hala.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara langkah yang diambil adalah memperluaskan penggunaan e-Gate kepada warganegara Singapura dan penambahan lorong M-Bike serta penggabungan kaunter.
Menurutnya, isu kesesakan di pintu sempadan negara di Johor bukan baru, dan perkara tersebut tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk diselesaikan secepat mungkin.
“Kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan penggunaan e-Gate pejalan kaki bukan sahaja untuk warganegara Malaysia, tetapi juga untuk warganegara Singapura.
“Keduanya, sudah ada persetujuan untuk menambah M-Bike Lane. Kalau dulu disediakan 50 lorong, akan ditambah lagi 25 lorong untuk masuk ke singapura dan juga masuk ke malaysia.
“Dari segi pertambahan kaunter terutamanya di Tambak Johor, kita sedang menyiapkan empat zon dari segi pengabungan kaunter. Sekarang ini, kereta terpaksa berhenti dua kali untuk ‘clear’ pasport dan juga Touch ‘n Go. Selepas ini mereka hanya berhenti sekali,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang juga merupakan Ketua Pengimbang Johor mengenai tindakan kerajaan dalam memastikan kelancaran Tambak Johor.
Selain itu, beliau turut menyambut baik cadangan Kah Eng mengenai cadangan pelaksanaan inisiatif Program Malaysia My Second Home (MM2H) dan penganjuran ekspo perumahan bagi menarik minat warganegara Singapura membeli hartanah tidak terjual di negeri ini.
“Saya sudah bercakap dengan EXCO (Kerajaan Johor berkaitan) untuk mengadakan program ekspo supaya kita dapat mempakejkan segala hartanah yang ada di Johor dan sama-sama kita bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kerana MM2H ini asal (dasar) dari Kerajaan Persekutuan. Kita di peringkat negeri tidak boleh ‘imposed’, tapi kita perlu bantuan pihak pengimbang untuk sama-sama kita mempengaruhi atau bercakap dengan Menteri Dalam Negeri di peringkat persekutuan,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor