KERAJAAN JOHOR, BANK RAKYAT PERKENAL PEMBIAYAAN BANTU PMKS


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Majlis Pelancaran Program Pembiayaan BRJohorNiaga, semalam | Sumber foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bersama Bank Rakyat berkolaborasi menawarkan kemudahan dikenali Program Pembiayaan BRJohorNiaga bagi usahawan terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini.

 

Hadir menyempurnakan pelancaran program tersebut, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan subsidi kadar keuntungan sebanyak 9.50 peratus bagi kategori mikro dan 3.58 peratus untuk kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), menjadikan nilai keseluruhan ditanggung adalah RM26 juta.

 

“Jumlah pembiayaan yang ditawarkan bagi Program BRJohorNiaga adalah RM5,000 hingga RM50,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun termasuk tempoh penangguhan sehingga sembilan bulan bagi usahawan mikro.

 

“Selain itu, RM50,001 hingga RM500,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun termasuk tempoh penangguhan sehingga sembilan bulan untuk usahawan kecil dan sederhana,” katanya pada majlis tersebut, semalam.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat), Shubanah Yusuf serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman.

 

Onn Hafiz berkata, pembiayaan itu adalah untuk modal kerja dan pembelian jentera atau peralatan yang terbuka kepada usahawan serta perniagaan berdaftar dan beroperasi di negeri ini.

 

Selain itu, usahawan berdaftar melalui sistem Pusat Data Usahawan Johor (PADU) Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), perniagaan patuh syariah serta sepenuh masa.

 

“Kita sedia maklum semasa COVID-19, banyak perniagaan dalam pelbagai sektor yang terjejas. Dalam kita hendak bantu usahawan para usahawan, inisiatif ini sangat bermakna untuk kita di Johor.

 

“Sebab itu, tempoh masa yang kita lancarkan program ini adalah sangat-sangat baik. Bangsa Johor yang terlibat dengan PMKS, jangan lepaskan peluang yang ini, yang membantu dari segi aliran tunai untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor