TERUJA BERANGKAT KE TANAH SUCI BUAT KALI PERTAMA


Tiga orang bakal ‘tetamu’ Allah teruja untuk mengerjakan ibadah haji buat kali pertama tahun ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

ISKANDAR PUTERI — Rezeki untuk menjadi ‘tetamu’ Allah untuk mengerjakan ibadah haji adalah impian utama kepada semua umat Islam di seluruh dunia kerana ia secara tidak langsung melengkapkan Rukun Islam seseorang Muslim.

 

Ramai yang berhujah bahawa sesiapa yang Allah menjemput menjadi tetamunya pasti mempunyai wang simpanan yang banyak atau sekurangnya mencukupi untuk membayar pakej haji.

 

Ternyata telahan ini salah kerana Allah tidak pernah menjemput sesiapa yang mampu tetapi Allah menjemput hambanya yang ingin menziarahnya, siapa yang merinduinya dan siapa yang berusaha untuk ke sana.

 

Itulah rezeki yang diperolehi oleh Sakhon Tukiran, 74 bersama isterinya Alimah yang terpilih menjadi antara 142 jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam ke-lima itu bersama dengan Rombongan Haji Kerajaan Johor, semalam.

 

Sakhon dan pasangannya yang berasal dari Parit Rambai, Pontian berkata, beliau berasa sangat bersyukur dan terharu kerana terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun ini walaupun berdepan dengan masalah kekangan kewangan sebelum ini.

 

“Alhamdulillah gembira, tak sangka terpilih. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor di atas bantuan ini dan Lembaga Tabung Haji (TH) yang memudahkan urusan kami suami isteri.

 

“Kami cuma pesara tukang kebun sekolah… bukan setakat B40 lagi dah, tetapi bawah daripadanya. Tetapi kami sangat-sangat bersyukur… kerana kata orang bukan senang nak ke sana. Kami berkorban menghantar lapan orang anak ke sekolah dan Alhamdulillah hampir semua berjaya,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor semalam.

 

Sementara itu, bagi pesara polis, Hussein Ahmad, 64, cita-citanya untuk ke tanah suci sejak kecil akhirnya tercapai.

 

“Saya memang memasang niat untuk ke tanah suci dari kecil dan akhirnya termakbul juga doa dan niat kita. Betul orang kata bila ada niat, InsyaAllah rezeki itu ada dan Allah akan permudahkan urusan.

 

“Cuma, kita tak tahu bila rezeki dan giliran kita sampai. Jadi bila dah terpilih, saya sangat seronok lebih-lebih lagi dapat ke sana dengan isteri,” ujarnya.

 

Seorang lagi pesara kerajaan, Ismail Abu Bakar, 62, berkata beliau sentiasa ternanti-nanti panggilan dan mesej dari Lembaga Tabung Haji bagi mengerjakan ibadah haji tahun ini.

 

“Ini kali pertama saya terpilih menunaikan haji. Saya dah daftar dari tahun 2009 lagi tetapi sejak saya bersara dua tahun lalu saya selalu tunggu panggilan atau mesej dari TH setiap kali tibanya musim haji. Alhamdulillah, tiba-tiba ada rezeki dapat pula sama-sama ke tanah suci dengan rakan-rakan pesara yang lain dalam Rombongan Kerajaan Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor