TIGA PROGRAM UNTUK BELIA BINA JARINGAN BAIK WAKIL RAKYAT DAN KOMUNITI


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tiga program tersebut adalah Southern Volunteers (SV) Prihatin @ Johor Future 2023, Skuad Muda SV dan Sukan Bangsa Johor. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bakal melaksanakan tiga program dengan keterlibatan wakil rakyat bersama masyarakat setempat khususnya golongan belia di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

 

Tiga program tersebut adalah Southern Volunteers (SV) Prihatin @ Johor Future 2023, Skuad Muda SV dan Sukan Bangsa Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, SV Prihatin @ Johor Future 2023 merupakan aktiviti berkonsepkan baik pulih rumah.

 

Menurutnya, aktiviti yang melibatkan dekorasi serta pembersihan rumah keluarga miskin itu akan dilaksanakan oleh sukarelawan SV, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia, komuniti dan pemimpin masyarakat di setiap DUN.

 

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan melaksanakan progam tanggungjawab sosial antara wakil rakyat dan belia di mana dengan peruntukan yang diberikan mereka akan mengemas dan dekorasi rumah keluarga miskin tegar.

 

“Pemilihan rumah diberikan oleh Pejabat Daerah, dan wakil rakyat akan menggerakkannya dengan dibantu oleh belia setempat di setiap DUN,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penyelarasan SV Prihatin @ Johor Future 2023 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabbar serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

 

Difahamkam, SV Prihatin @ Johor Future 2023 dengan kos RM500,000 itu akan akan membabitkan baik pulih 280 kediaman di semua DUN Johor dan penyertaan kira-kira 56,000 belia seluruh negeri ini.

 

Mengenai Skuad Muda SV di peringkat sekolah pula, Mohd Hairi berkata, SV sudah memilih 56 sekolah di setiap DUN di negeri ini, untuk dijadikan sebagai sekolah rintis pelaksanaan skuad berkenaan.

 

“Ia merupakan program pelapis kepada generasi akan datang dalam bidang kesukarelawanan. Saya percaya dengan penglibatan dan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan melancarkan lagi hasrat kerajaan untuk memperluaskan fungsi dan peranan SV hingga ke akar umbi.

 

“Majlis pelancaran Skuad Muda SV akan dilaksanakan di 56 sekolah yang dilantik pada Jun 2023 secara serentak di seluruh negeri ini,” katanya.

 

Bagi Sukan Bangsa Johor pula, beliau memberitahu pelaksanaan sukan itu melibatkan pertandingan di peringkat DUN sebelum ke peringkat negeri yang berlangsung selama dua hari.

 

Ujarnya, pertandingan empat sukan iaitu sepak takraw, futsal, bola jaring, bola keranjang ‘3 on 3’ itu bertujuan merakyatkan sukan di kalangam masyarakat.

 

“Sukan Bangsa Johor dilaksanakan di 56 DUN. Johan di peringkat DUN akan bertanding di peringkat negeri bagi mewakili DUN masing-masing.

 

“Jumlah kos penganjuran Sukan Bangsa Johor melibatkan kira-kira RM1.5 juta di mana perasmian pada bulan Ogos nanti selain pertandingan di peringkat negeri dijadualkan pada 19 dan 20 Ogos 2023 nanti,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor