VANDALISME BUKAN BUDAYA KITA
ISKANDAR PUTERI — Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) kesal dengan sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merosakan prasarana dan landskap pengindahan bandar penghujung benua Asia itu.
Dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasminya, MPPn memberitahu pihaknya mengesan perbuatan vandalisme yang berlaku di Lorong Cendol, baru-baru ini.
“MPPn telah menaiktaraf Lorong Cendol dengan lukisan mural bagi tujuan pengindahan. Namun, kami berasa dukacita dan sedih apabila melihat budaya tidak sihat iaitu vandalisme ini berleluasa.
“Lukisan mural telah diconteng dengan tulisan dan cat. Perbuatan ini adalah sangat tidak bertanggunggjawab dan mencacatkan pemandangan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, MPPn mengharapkan agar semua pihak melihat perkara ini dengan serius dan berharap warga Pontian turut bersama menjaga persekitaran dan keceriaan bandar Pontian agar sentiasa bersih dan ceria.
“Harta awam adalah untuk kemudahan bersama. Amat penting untuk seluruh warga daerah Pontian untuk bersama menjaganya.
“Orang awam adalah disarankan untuk melaporkan sebarang salah laku dan vandalisme kepada MPPn melalui hotline aduan di talian 076871144 dan WhatsApp aduan di 0197515383,” tambahnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor