TINGKAT AKSES, KETERSAMBUNGAN LIPUTAN PENDUDUK DESA MAKMUR
Pembinaan menara telekomunikasi di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDALA di Desa Makmur, Kota Tinggi, sudah semestinya memenuhi permintaan dan akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat terutama dari segi pendidikan, perniagaan dalam talian dan sebagainya, sekali gus mengurangkan masalah kualiti liputan.
Inisiatif Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Johor ini dijangka memberi manfaat kepada 500 hingga 600 penduduk dengan jarak rangkaian sejauh 1.5 kilometer. Projek yang telah bermula pada tahun lalu, kini memasuki fasa akhir dengan pemasangan perkhidmatan telekomunikasi yang dijangka akan siap sepenuhnya pada Februari 2024.
Penyerahan menara telekomunikasi di bawah JENDALA di Desa Makmur, Kota Tinggi daripada pihak pembina iaitu Theta Telecoms Sdn. Bhd. kepada pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Berhad bagi proses pemasangan telah disaksikan oleh YB Norlizah Noh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor.
Dengan terbinanya menara telekomunikasi berserta perkhidmatan liputan di Desa Makmur, Kota Tinggi kelak diharapkan penduduk setempat dan kawasan sekitar menikmati rangkaian mudah alih dan akses internet yang lebih stabil dan berkelajuan tinggi.
Untuk rekod, sebanyak 107 menara di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 sedang dibina di Johor di mana 23 daripadanya sudah siap dibina dan diserahkan kepada pihak Celcom dan Digi bagi kerja pemasangan peralatan telekomunikasi. Sementara baki selebihnya masih dalam pembinaan serta dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2024.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor