ACL 2023: JDT SEDIA RAIH TIGA MATA ESOK


Pengendali Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi cemerlang menetang Ulsan Hyundai FC di Stadium Sultan Ibrahim, esok. | Foto MDJ Bayu Anggara.

 

Meskipun tewas pada aksi terakhir Kumpulan I Liga Juara-juara Asia (ACL) 2023 menentang Ulsan Hyundai FC tempoh hari, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia meraih tiga mata penuh esok apabila kedua-dua pasukan itu dijadualkan bertemu semula bagi aksi keempat di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

 

Pengendali JDT, Estaban Solari menyifatkan anak buahnya kini dalam motivasi yang terbaik dan fokus mereka tertumpu untuk memenangi perlawanan esok. Beliau juga mengingatkan pemain-pemainnya supaya menambah baik kualiti serangan dan pertahanan, selain mengurangkan kesilapan kecil yang boleh mendatangkan bahaya.

 

Sementara itu, penyerang JDT, Fernando Forestieri yang sudah pulih dari kecederaan yakin pasukannya dalam persiapan terbaik untuk menghadapi perlawanan esok. Beliau juga bersedia untuk memberikan komitmen 200 peratus untuk aksi malam esok sekiranya diturunkan oleh jurulatih.

 

Sementara itu, bagi pengendali Ulsan Hyudai FC, Hong Myung Bo, beliau menjangkakan perlawanan berintensiti tinggi akan dipamerkan kedua-dua pasukan terutama JDT yang akan melakukan serangan secara agresif. Katanya, kekalahan pada edisi sebelum ini tidak akan memberi kesan kepada pasukan yang berpangkalan di Korea Selatan itu, sebaliknya mereka akan cuba mengawal permainan dengan baik esok di hadapan penyokong JDT.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor