PERSEDIAAN HADAPI BANJIR GIAT DILAKUKAN 16 PBT JOHOR


Sebanyak 78 peratus daripada 23 kawasan hotspot banjir telah diambil tindakan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan kos RM9.32 juta selain MPK sendiri dilantik mengetuai aktiviti pasca banjir dengan penyediaan 29 kenderaan dan 140 petugas. | Foto hiasan

 

Persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya banjir menjelang Monsun Timur Laut (MTL) giat dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor antaranya pembersihan sungai, sistem saliran dan kolam takungan air.

 

Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) membuat persediaan dari segi logistik, pusat pemindahan sementara dan projek naik taraf di kawasan dikenal pasti berisiko dilanda banjir, kata Yang Dipertuanya, Azurawati Wahid.

 

Sebanyak 78 peratus daripada 23 kawasan hotspot banjir telah diambil tindakan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan kos RM9.32 juta selain MPK sendiri dilantik mengetuai aktiviti pasca banjir dengan penyediaan 29 kenderaan dan 140 petugas.

 

Sementara itu, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) turut melaksanakan kerja menaiktaraf dan pembersihan longkang bagi mengurangkan kesan banjir melibatkan kos berjumlah lebih RM4.45 juta yang dibelanjakan bagi 20 projek di daerah tersebut.

 

Sembilan lokasi kerap berlaku banjir di kawasan MPBP dikenal pasti iaitu Bandar Penggaram, Taman Damai, Taman Nira, Taman Tanah Merah, Kawasan Pekan Parit Raja, Taman Bintang, Kampung Johor, Taman Sri Jaya dan kawasan perumahan sepanjang Jalan Parit Besar.

 

Untuk rekod, Kerajaan Johor memperuntukkan lebih RM78 juta untuk melaksanakan kerja pembersihan sungai, longkang dan kolam takungan air sebagai langkah menghadapi banjir dilakukan secara berfasa oleh 16 PBT di negeri ini, sejak tahun lalu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor