PENGGALI KUBUR, AJK MASJID DAN SURAU, PEGAWAI AGAMA, PENGUSAHA ‘HOMESTAY’ TURUT NIKMATI BKJ

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor Fasa Keempat di Dewan Terbuka JKKK Kampung Baru Simpang Renggam. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Kluang – Pelbagai golongan masyarakat termasuk sukarelawan penggali kubur, jawatankuasa masjid dan surau, pegawai agama serta pengusaha ‘homestay’ terus menerima perhatian daripada Kerajaan Johor menerusi pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat.
Pelaksanaan BKJ yang sebelum ini memfokuskan kepada beberapa kumpulan sasaran, kini diperluaskan lagi kepada pelbagai lapisan masyarakat hasil daripada maklum balas serta suara akar umbi rakyat di seluruh negeri ini.
Menerusi BKJ Fasa 4, Sukarelawan Penggali Kubur Islam Negeri Johor kini menerima insentif RM200 seorang melibatkan 3,000 penerima dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM600,000.
Selain itu, Jawatankuasa Masjid dan Surau di seluruh Johor turut menerima sumbangan bernilai RM200 seorang melibatkan kira-kira 30,000 penerima dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM6 juta sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam mengimarahkan institusi masjid dan surau di negeri ini.
Selain itu, seramai 5,000 Pegawai Agama Bertauliah Tidak Berelaun pula menerima bantuan khas RM200 sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka dalam masyarakat termasuk memperkasakan syiar Islam di negeri ini, manakala 400 Pengusaha Homestay Berdaftar di Negeri Johor pula menerima insentif RM300 seorang.
Pelaksanaan bantuan berkenaan menterjemah komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan lebih ramai rakyat daripada pelbagai latar belakang menerima manfaat dan perhatian sewajarnya.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Johor turut mencatat kutipan hasil negeri mencecah RM1 bilion buat pertama kali dalam sejarah, sekali gus membolehkan lebih banyak bantuan dan inisiatif kebajikan rakyat seperti BKJ dapat dilaksanakan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor Fasa Keempat melibatkan beberapa kategori bagi kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) Machap di Dewan Terbuka JKKK Kampung Baru Simpang Renggam.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



