ATF CETUS IMPAK POSITIF PELANCONGAN JOHOR
#IskandarPuteri – Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 berpotensi memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri susulan kejayaan menarik lebih 5,000 delegasi peserta domestik dan antarabangsa sekali gus mempromosikan Johor sebagai destinasi pilihan.
Forum bertaraf antarabangsa sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berlangsung di negeri ini berupaya menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan dan mewujudkan limpahan manfaat kepada komuniti setempat seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026.
Kumpulan Penyelidik Perancang Pelancongan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diketuai TPr. Dr. Norhazliza Abdul Halim menyifatkan ATF 2025 menjadi platform kepada pemain industri memperkenalkan pakej pelancongan pelbagai destinasi negara ASEAN termasuk Johor.
Selain dapat menarik minat pelancong antarabangsa menjadikan Johor sebagai destinasi utama, forum itu menjadi medan jalinan kerjasama dengan negara-negara jiran bagi menawarkan promosi eksklusif bagi meningkatkan tempoh penginapan di negeri ini.
Kerajaan Negeri turut disyorkan untuk menjadikan penganjuran bengkel atau acara khas bertaraf antarabangsa sebagai inisiatif negeri bagi memperkasa usaha promosi pelancongan di peringkat global menerusi penglibatan pemain industri profesional dan media antarabangsa.
Dengan strategi yang tepat dan kolaborasi menyeluruh, ATF 2025 mampu memberikan lonjakan kepada industri pelancongan negeri dan menyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Johor 2026 seterusnya meletakkan Johor sebagai destinasi pilihan di rantau ASEAN.
#ATF2025
#MajesticJohor
#VisitJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor