‘AYUH JOHOR’ TERJEMAH KOMITMEN LAHIR PEMIMPIN MUDA KALIBER
Laungan ‘Ayuh Johor’ yang menggemakan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudin Abd Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi penzahiran dukungan Orang Muda Johor terhadap agenda Maju Johor aspirasi Kerajaan Negeri.
Inisiatif Institut Dato’ Onn (IDO) menghimpunkan kira-kira 1,000 mahasiswa anak Johor dari 22 universiti tempatan menerusi program Ayuh Johor menterjemahkan iltizam kuat Kerajaan Negeri melahirkan pemimpin muda nasional berwibawa menjelang tahun 2030.
Pelbagai program digerakkan IDO bagi menjayakan hasrat membentuk budaya pemikiran baharu dan memupuk inovasi dalam kalangan Orang Muda Johor termasuklah Ayuh Johor yang menjadi platform penerangan inisiatif dan perkembangan mutakhir berkaitan negeri.
Program dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan (GAJ) itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memastikan orang muda turut serta dalam membangunkan negeri sekali gus merealisasikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.
Justeru, menerusi program berkenaan, mahasiswa anak Johor diseru mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran bagi memanfaatkan limpahan manfaat yang bakal wujud termasuk peluang pekerjaan daripada penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ayuh Johor yang merupakan program ‘University Leadership Engagement 2024’ telah menampilkan YBhg. Khairy Jamaluddin, Penasihat Belia Johor dalam slot Kepimpinan Johor serta YBhg. Zulkifli Salleh, pengasas jenama ‘Super Sunday’ bagi slot Perkongsian Ilmu.
Selain itu, program turut menyediakan tiga bengkel kepada mahasiswa berkaitan penghasilan ‘presentation’ secara profesional, pengenalan teknologi ChatGPT serta pengetahuan demokrasi dan pembentukan polisi selari objektif membentuk pemikiran generasi muda berinovatif.
Hadir sama, YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor; YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta YBrs. Mohd Gadaffie Abd. Aziz, Pengarah IDO.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor