BANJIR KILAT : MBJB LAKSANA TINDAKAN PROAKTIF


MBJB menerusi Jabatan Penguatkuasaan juga melaksanakan bantuan pengalihan kenderaan terperangkap di dalam banjir. | Foto ihsan MBJB

 

Susulan kejadian banjir kilat melanda sekitar bandar raya Johor Bahru berikutan hujan lebat lebih dua jam semalam, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan di kawasan yang terjejas pada kadar segera.

 

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan yang diambil adalah memastikan pam-pam utama berfungsi dengan baik dan memantau kawasan terlibat.

 

Di samping itu, Skuad Kilat MBJB melaksanakan kerja pembersihan di lokasi banjir kilat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama selain kawalan dan bantuan kecemasan termasuk pemindahan mangsa terjejas di Kampung Mohd Amin.

 

MBJB menerusi Jabatan Penguatkuasaan juga melaksanakan bantuan pengalihan kenderaan terperangkap di dalam banjir serta memantau kerja pembersihan terhadap sampah di parit terbuka bawaan hujan dilaksanakan SWM Environment.

 

Terdahulu, hujan lebat dengan kadar intensiti melebihi 100mm secara berterusan bermula jam 12.45 hingga 3.30 petang berserta air laut pasang mengakibatkan 25 lokasi sekitar bandar raya Johor Bahru terjejas akibat banjir kilat.

 

Antara lokasi berkenaan adalah Jalan Ayer Molek, Jalan Kolam Air, Kampung Mohd Amin, Jalan Yahya Awal, Jalan Mahmoodiah, Dataran Bandaraya Johor Bahru, Jalan Dato’ Sulaiman, Jalan Padi Makmur, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tebrau, Hutan Bandar Johor Bahru, Jalan Stulang Darat, Jalan Ibrahim Sultan, Jalan Padi Huma 9 dan 10 serta Kampung Kangkar Tebrau.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor