BAPA SAYA SELALU JADI MILIK RAKYAT


Anak sulung Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub , Iskandar Zulkarnain.

 

PONTIAN — Keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub merakamkan penghargaan atas penghormatan terakhir diberikan oleh semua pihak termasuklah rakyat yang mengenali dirinya.

 

Anak sulungnya, Iskandar Zulkarnain, 37, berkata keluarganya berterima kasih dan memberitahu mereka sekeluarga sebenarnya sudah lama meletakkan bapanya itu sebagai ‘hak milik rakyat Malaysia’.

 

“Kami daripada kecil dididik yang dia selalu tiada dengan kami, (kerana terpaksa) selalu (memberikan masanya) bersama rakyat.

 

“Ini impian dia (Allahyarham). Dia pesan biarlah dia meninggal dunia dalam (keadaan sedang) kerja untuk rakyat. Kami reda (pemergiannya) kerana dia sudah capai impian dia (berkhidmat kepada rakyat),” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat, di sini, hari ini.

 

Iskandar memohon semua pihak menitipkan doa terbaik terhadap Allahyarham dan berharap pemergiannya turut membawa pergi bersama namanya yang baik serta jasanya yang dikenang.

 

Katanya, Allahyarham banyak berkongsi nasihat antaranya ialah tidak mencampuri urusan kerja sewaktu hayatnya selain mengajar mereka untuk berdikari.

 

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar) kerana menyediakan perkhidmatan terbaik untuk kami.

 

“Apa yang mereka cuba itu, sudah terbaik. Kami reda dengan aturan ilahi, memang dia (Allahyarham) milik Allah SWT,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor