BELANJAWAN JOHOR 2024: PEMERKASAAN KERJASAMA IPT TEROKA TEKNOLOGI BAHARU


Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Effandi Yusof berpandangan kolaborasi berkenaan berupaya merancakkan inovasi dan pembangunan. | Foto hiasan

 

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang ada di Negeri Johor perlu dilibatkan secara langsung dalam pembangunan direncanakan oleh Kerajaan Johor terutama dalam bidang teknologi baharu.

 

Bagi menjayakan hasrat berkenaan, kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan IPT perlu diperkasakan terutama menerusi Belanjawan Johor 2024 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 23 November ini.

 

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Effandi Yusof berpandangan kolaborasi berkenaan berupaya merancakkan inovasi dan pembangunan terutamanya menerusi teknologi baharu yang berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

Kerajaan Negeri juga diyakini sudah melihat keperluan pembangunan hijau yang bukan sahaja akan memelihara alam sekitar malah menjadi pemangkin untuk menarik lebih banyak pelaburan asing terutamanya dalam bidang teknologi hijau dan terkini.

 

Selain itu, Effandi berharap Belanjawan Johor 2024 dapat menyediakan bantuan dan inisiatif kepada IPT yang sentiasa bersedia untuk memainkan peranan signifikan bagi memudahkan pemindahan teknologi sekali gus melahirkan industri baharu di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor