MAJLIS DAERAH TANGKAK TERIMA ANUGERAH KHAS BANDAR MAMPAN 2023


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menyampaikan Anugerah Khas Bandar Mampan kepada Majlis Daerah Tangkak. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Majlis Daerah Tangkak melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Bandar Mampan sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2023 Peringkat Negeri Johor, semalam.

 

Pengiktirafan itu susulan pencapaian cemerlang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan yang berjaya mengekalkan Anugerah Bandar Paling Mampan Peringkat Kebangsaan untuk dua tahun berturut-turut.

 

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor yang hadir menyempurnakan perasmian sambutan di Sunway Big Box, Iskandar Puteri.

 

Pelbagai aktiviti turut diadakan sempena sambutan iaitu pertandingan ‘XPLORE XPARK’, Pameran Pelan Konsep ‘Placemaking and Spaces’ Emerald Lake oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai serta penyampaian Anugerah Bandar Mampan 2023 melibatkan 16 PBT Negeri Johor.

 

Sambutan HPBS 2023 Peringkat Negeri Johor merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf kemampanan kawasan PBT yang diukur dan dinilai berdasarkan keseimbangan dan pembangunan fizikal serta sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat.

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor