BERHENTI KELUAR KENYATAAN PROVOKASI – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah / Sumber Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan supaya berhenti mengeluarkan kenyataan provokasi terhadap Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah akui amat kecewa dengan kenyataan oleh pemimpin Kedah itu.

“Beliau katakan beliau menyatupadukan semua dalam satu kesatuan bola sepak. Tidak langsung melambangkan apa yang dikatakan menerusi jawapan ‘koyak’ yang beliau lontarkan,” tulisnya menerusi posting dimuatnaik dalam Facebook rasminya.

Mohd Hairi berkata, jawapan diberikan kepada media dalam satu temubual baru-baru ini, memperlihatkan keperibadian Muhammad Sanusi yang tidak layak bergelar seorang Menteri Besar.

“Ayat dan jawapan yang keluar daripada mulut beliau bukanlah yang sepatutnya dituturkan sebagai seorang pemimpin tertinggi negeri.

“Malah penggunaan ayat yang biadap dan kurang ajar itu tidak sepatutnya digunakan. Anda pemimpin dan teladan untuk semua yang menyaksikan anda di kaca TV (televisyen) ataupun surat khabar,” tulisnya.

ADUN Larkin itu berkata, perangai ungkal dan kenyataan kurang ajar Menteri Besar Kedah itu menjadikan memecahbelahkan lagi peminat bola sepak tanah air.

Beliau turut mencabar keberanian Muhammad Sanusi supaya memberitahu siapa yang ditujukan sebagai ‘lanun’ seperti yang diperkatakan pada temubual dengan media itu.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor