BRAJ 2023 : KERAJAAN NEGERI KOMITED ATASI ISU HARGA BARANG


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip menyempurnakan pelancaran Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) di Laman Simpang Renggam, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited mengatasi isu kenaikan harga barang menerusi pelaksanaan Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) di seluruh Negeri Johor pada tahun ini.

 

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

 

Menurut beliau, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kerajaan negeri melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor bagi melaksanakan BRAJ di 30 lokasi di negeri ini.

 

“Pagi ini, kami melancarkan lokasi pertama BRAJ 2023 di Laman Simpang Renggam, Kluang. Kerajaan Negeri Johor amat komited dalam mengatasi isu fenomena kenaikan harga barang, yang mana menyebabkan rakyat turut mengalami tekanan kos sara hidup yang tinggi.

 

“Oleh itu, dengan perlaksanaan program ini diharap mampu membantu sedikit sebanyak rakyat melalui penawaran harga berpatutan dan tampungan harga bagi komoditi yang terpilih seperti ayam, telur, minyak masak, sayur dan lain-lain lagi,” kata beliau selepas Majlis Pelancaran BRAJ 2023 di Laman Simpang Renggam, hari ini.

 

BRAJ di Laman Simpang Renggam bermula dari jam 8 pagi hingga 2 petang, melibatkan 80 usahawan dan dihadiri lebih 1,000 pengunjung. Pelbagai aktiviti dan jualan tambahan seperti Baucar Khas melalui Agrobazaar Online (ABO), Jualan Produk Agromas dan Industri Asas Tani (IAT) dinikmati pengunjung.

 

Zahari berkata, keseluruhan seramai 500 usahawan tani dianggarkan terlibat dalam menjayakan BRAJ 2023 di 30 lokasi yang bermula 25 Februari sehingga 31 Jun ini, dengan jangkaan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

 

Sementara itu, Pengarah FAMA Negeri Johor, Shahrizan Sudiman berkata, pihaknya mensasarkan nilai jualan sebanyak RM2 juta dengan melibatkan 120 metrik tan bekalan keperluan barangan terpilih bagi 30 lokasi sepanjang tempoh berkenaan.

 

“Program ini turut melibatkan hampir 60 peratus usahawan baru iaitu belia tempatan dalam memberi peluang kepada mereka turut serta dalam program jualan ini yang mana secara tidak langsung meningkatkan peluang perniagaan dan pendapatan.

 

“Kaedah tampungan harga yang dilaksanakan ini turut merancakkan domino ekonomi dengan matlamat mengurangkan lapisan perantara pasaran dari ladang terus kepada pengguna. Ini sememangnya memberi faedah kepada kedua-dua pihak yang berkepentingan dalam penawaran dan permintaan bahan makanan tempatan,” kata beliau.

 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan 30 lokasi BRAJ 2023 dengan melayari platform media sosial rasmi FAMA Negeri Johor iaitu Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor