BSJK IPD BATU PAHAT ADAKAN PROGRAM PENCEGAHAN JENAYAH KOMERSIL


Antara penduduk yang hadir pada rogram Pencegahan Jenayah Komersil sempena Program Sayangi Komuniti Ayer Hitam / Foto Ihsan IPD Batu Pahat.

 

BATU PAHAT — Seramai 60 peserta yang terdiri daripada komuniti Ayer Hitam di sini menyertai Program Pencegahan Jenayah Komersil sempena Program Sayangi Komuniti Ayer Hitam di sini, semalam.

Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berkaitan jenayah komersil terutama berkaitan penipuan.

Penceramah BSJK IPD Batu Pahat, Inspektor Muhamad Nazren Nazri dalam penerangannya berkata semua pihak perlu mengambil perhatian terhadap jenayah ini kerana ia menjadi antara isu yang kian membelenggu masyarakat di negara ini.

“Orang ramai diingatkan supaya jangan sesekali terjebak terutama menjadi keldai akaun oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mengambil langkah sewajarnya jika berdepan dengan pihak berkenaan termasuk membuat laporan polis.

“Pihak polis juga mewujudkan pelbagai inisiatif bagi menangani jenayah ini seperti aplikasi Semak Mule PDRM, CCID Infoline, CCID Scam Response Centre dan laman sosial Facebook Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Polis Johor yang boleh dimanfaatkan penggunaannya pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan media di laman Facebook Polis Johor.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan ceramah pada Program Pencegahan Jenayah Komersil sempena Program Sayangi Komuniti Ayer Hitam di sini, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

Muhamad Nazren berkata, pada program sama, peserta juga turut didedahkan mengenai modus operandi scammer dan juga perkara yang perlu mereka lakukan sekiranya mendapat panggilan daripada scammer.

Katanya, justeru pihaknya berharap dengan adanya program seumpama itu akan dapat mengelakkan lebih ramai masyarakat khususnya komuniti Ayer Hitam daripada menjadi mangsa sindiket jenayah komersil ini kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor