CADANG WUJUDKAN TERMINAL PENGANGKUTAN BERSEPADU DI JOHOR


Terminal Bas Larkin, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) berkeyakinan langkah dan cadangan komprehensif mewujudkan terminal pengangkutan bersepadu di negeri ini boleh mendatangkan impak besar terhadap kecekapan dan aksesibiliti pengangkutan awam.

 

Terminal bersepadu yang ditempatkan di luar pusat bandar Johor Bahru dapat mengurangkan tekanan lalu lintas malah diyakini mampu menggalakkan budaya penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat dengan meninggalkan kenderaan persendirian mereka di terminal dan menggunakan pengangkutan awam untuk masuk ke bandar.

 

Mengambil contoh Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, fasiliti berpusat seumpama itu boleh berfungsi sebagai hab utama menawarkan kemudahan pengangkutan awam menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar serta negeri-negeri lain termasuk negara jiran sebaik sahaja Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ) dilaksanakan.

 

Justeru, PAJ tidak menolak cadangan mewujudkan satu terminal pengangkutan bersepadu di Johor malah menyifatkan terdapat keperluan menyediakan infrastruktur berkenaan bagi menyokong perkembangan pesat pengangkutan awam seperti Sistem Rapid Transit (RTS Link), Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru.

 

Satu kajian teliti juga wajar dijalankan bagi menilai semula keperluan dan keberkesanan pengoperasian terminal utama di Johor iaitu Terminal Bas Larkin yang berdepan masalah kesesakan apabila bas-bas terpaksa berhimpit dengan kenderaan persendirian menuju ke pusat bandar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor