DAERAH TERJEJAS BANJIR TIDAK BERUBAH


Jumlah mangsa banjir terkini bertambah kepada 3,803 penduduk di lima daerah yang terjejas di Negeri Johor | Angkatan Pertahanan Awam Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir terkini meningkat hampir 200 orang menjadikan 3,803 penduduk di lima daerah yang terjejas di Negeri Johor.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 10 pagi memaklumkan daerah yang terjejas tidak berubah iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.

 

Bagaimanapun, jumlah keluarga terjejas bertambah kepada 1,070 keluarga berbanding 1,014 keluarga dalam laporan jam 8 pagi tadi.

 

Setakat ini, tiada pertambahan jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi di kesemua daerah yang terlibat, sekali gus kekal dengan 35 PPS.

 

Pertambahan mangsa banjir melibatkan PPS Politeknik Mersing iaitu 34 keluarga terdiri 116 penduduk dari Kampung Che Wook dan Jalan Pagar Kampung Sri Pantai kepada 90 keluarga terdiri 315 penduduk.

 

Selain itu, PPS Air Papan juga menunjukkan penurunan jumlah penduduk yang diberikan penempatan sementara iaitu daripada 71 penduduk pada jam 8 pagi kepada 63 penduduk yang terkini.

 

Turut dimaklumkan Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi, Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan.

 

Manakala Jalan Jemaluang-Batu Pahat di Mersing, Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) dan Jalan Tanjung Sedili (Kampung Gambut) di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan sementara Jalan Utama Johor Bahru-Endau dibuka satu lorong.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor