MENJAYAKAN JOHOR BERSIH MELIBATKAN SEMUA BANGSA JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama EXCO Kerajaan Johor, MBJB dan masyarakat setempat melakukan aktiviti gotong royong di sekitar Dataran Segget, Johor Bahru, semalam | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Usaha menjayakan Johor yang bersih bukan hanya melibatkan sektor kerajaan negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Sebaliknya, beliau memberitahu usaha tersebut memerlukan kerjasama dan peranan semua Bangsa Johor termasuk pihak swasta untuk memastikan tiada sampah sarap di kawasan masing-masing.

 

“Kerajaan negeri mempunyai agenda besar untuk memajukan Johor dan kebersihan adalah satu perkara yang sangat penting bagi mencapai agenda tersebut.

 

“Insha Allah, program ini akan menjadi rutin mingguan saya bersama-sama dengan Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri, Wakil Rakyat, Ketua Kampung, Ahli Majlis, PBT, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), komuniti perniagaan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat,” kata beliau.

 

Semalam, Onn Hafiz bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor melakukan aktiviti gotong royong mengejut di sekitar Dataran Segget, Johor Bahru.

Turut menyertai program tersebut adalah Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’Mohd Noorazam Osman dan Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru, Ir. Nazatul Shima Mohamed.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor