INOVASI PENAPIS AIR BAWAH TANAH UTHM BANTU PENDUDUK LUAR BANDAR


Penduduk di Kampung Baru-Baru sedang menunggu giliran mengambil air bersih dari Containerised Water Filtration System / Gambar Ihsan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bukan sahaja terus ke hadapan dalam bidang pendidikan tinggi negara tetapi juga sentiasa mempelopori usaha dalam membantu pembangunan masyarakat.

Ia dapat dibuktikan apabila inisiatif yang dilaksanakan oleh universiti awam yang berpangkalan di Batu Pahat, Johor itu banyak memberi manfaat kepada masyarakat dan terbaharu ialah produk inovasi penapis air bawah tanah ‘Containerised Water Filteration System’.

Produk inovasi hasil penyelidikan penyelidik UTHM kini terus mendapat perhatian penduduk luar bandar terutama di Sabah kerana ia diyakini mampu menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang sering membelenggu kehidupan mereka.

Produk inovasi yang dikomersialkan oleh syarikat terbitan universiti (STU) iaitu Ittihad Maju Jaya Sdn Bhd telah berjaya menyelesaikan masalah air bersih terawat membabitkan empat perkampungan di daerah Tuaran, Sabah iaitu Kampung Sambah, Kampung Baru-Baru, Kampung Lok Nunuk dan Kampung Panimbawang.

Pengarahnya, Dr Mohd Zainizan Sahdan, berkata produk inovasi itu adalah hasil kerjasama dengan syarikat tempatan, Drilltech Engineering Sdn Bhd telah berjaya menyelesaikan masalah yang berlarutan di perkampungan berkenaan selama lebih 85 tahun.

“Menerusi produk inovasi itu, masalah yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sahaja. Majoriti penduduk melahirkan rasa gembira dengan pelaksanaan projek ini.

“Ia sekali gus dapat memberi penjimatan kepada penduduk yang terpaksa membeli air mineral bagi tujuan penyediaan makanan di rumah,” katanya dalam kenyataan yang muat naik di laman Facebook rasmi UTHM.

Mohd Zainizan berkata, produk inovasi penapis air berkenaan merupakan sistem yang mudah dipasang, tahan lasak dan ujian makmal juga turut membuktikan air yang terhasil daripada penapis berkenaan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami juga turut mendapat maklum balas baik terutama daripada penduduk di kawasan pendalaman di Tawau, Sabah dan Gerik, Perak yang telah menggunakan air terawat hasil daripada pemasangan penapis air berkenaan.

“Bagi kami, maklum balas seumpama itu akan dapat menaikan semangat kami untuk teus memberi fokus dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi membantu masyarakat luar bandar untuk mendapatkan bekalan air bersih dan terawat kelak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada UTHM kerana sentiasa memberi sokongan penuh bukan sahaja mengenai usaha mengetengahkan produk inovasi itu sahaja, tetapi juga turut membantu proses penyampaian supaya ia dapat dinikmati oleh masyarakat.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor