DELOITTE MALAYSIA TAJA 15 KOMPUTER RIBA KEPADA PELAJAR PALOH


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han hadir ke SJKC Lit Terk untuk sesi penyerahan komputer riba kepada pelajar. / Foto Ihsan Facebook Lee Ting Han

ISKANDAR PUTERI — Syarikat Deloitte Malaysia menaja 15 komputer riba kepada pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk, dekat Kampung Baru Nyior, Kluang, semalam.

 

EXCO Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han hadir ke sekolah tersebut untuk sesi penyerahan komputer riba berkenaan kepada pelajar.

 

Menurutnya, pendidikan merupakan asas dalam menentukan hala tuju anak-anak, dan melaluinya, sesebuah keluarga atau masyarakat boleh keluar daripada kemiskinan.

 

“Dalam hal ini, setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang pendidikan yang saksama dan berkualiti. Banyak kajian secara konsisten menunjukkan bahawa pencapaian pendidikan sangat berkait rapat dengan pendapatan dan kelas sosial.

 

“Dan bahawa (dengan) meningkatkan akses kepada pendidikan, terutamanya dalam kalangan kumpulan yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi, adalah cara yang paling baik untuk meningkatkan mobiliti sosial,” katanya menerusi Facebook rasminya, semalam.

 

Bagaimanapun, Ting Han berkata, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan pembelajaran jarak jauh merupakan topik banyak diperkatakan semasa zaman COVID-19.

 

“Ia juga menjadi kebiasaan baharu pada masa kini terutamanya di kawasan bandar. Tetapi kita juga tahu bahawa masih terdapat sebahagian besar masyarakat kita yang tidak mampu untuk membeli komputer riba untuk anak-anak mereka, terutamanya di kawasan luar bandar.

 

“Akibatnya, kanak-kanak ini menghadapi peluang yang mungkin ketinggalan berbanding rakan sebaya di kawasan yang lebih maju, termasuk peluang untuk memperoleh pengetahuan terkini daripada Internet dan belajar menggunakan komputer pada usia awal,” katanya.

 

Justeru, beliau berterima kasih kepada Deloitte Malaysia kerana memilih SJKC Lit Terk terletak di DUN Paloh sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

 

Ujarnya, inisiatif murni pihak syarikat dengan menyumbang komputer riba telah diubahsuai itu secara langsung membantu pelajar di sekolah berkenaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor