PROJEK TAMBAH LORONG MOTOSIKAL BERMULA DISEMBER INI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mempengerusikan mesyuarat koordinasi membincangkan skop, kos serta garis masa projek penambahan lorong motorsikal, semalam / Sumber Gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Projek menambah lorong motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akan bermula Disember ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek tersebut dijangka dapat disiapkan dalam tempoh setahun.

 

“Insya Allah, pihak arkitek akan menyiapkan pelan rekabentuk dalam tempoh dua bulan (April-Mei) disusuli dengan pelan rekabentuk struktur 1 bulan (Jun).

 

“Proses perolehan termasuk penyediaan dokumen tender, proses pengiklanan dan penilaian tender dijangka mengambil masa selama tiga bulan (Julai – September) manakala SST dijangka boleh dikeluarkan pada November 2023.

 

“Dengan mengambil kira lokasi projek berada di lokasi paling sibuk dalam negara, projek ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 1 tahun bermula Disember 2023 sehingga November 2024,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat koordinasi membincangkan skop, kos serta garis masa projek tersebut, semalam.

 

Mohamad Fazli berkata, cadangan menambah lorong motosikal di Kompleks CIQ BSI merupakan cetus Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas melihat sendiri kesesakan semasa proses keluar dan masuk negara.

 

“Beliau (Menteri Besar Johor) mencadangkan agar lorong motosikal MBIKE ini ditambah bagi mengurangkan masa menunggu penunggang motosikal.

 

“Saya dan jabatan-jabatan berkenaan serta agensi yang berkaitan telah beberapa kali bermesyuarat bagi memperhalusi perkara ini,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diluluskan bagi mengatasi kesesakan pintu sempadan negara melibatkan negeri ini.

 

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan serta Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan 1 yang meluluskan peruntukan bagi merealisikan harapan dan hasrat kerajaan negeri Johor dalam memudahkan urusan seharian rakyat.

 

“Semoga projek ini berjalan dengan lancar seperti yang dirancang demi keselesaan rakyat Malaysia dan Bangsa Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor