DEWAN NEGERI JOHOR UCAP TAHNIAH KEPADA MB, EXCO


Dewan Negeri Johor mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar dan EXCO Kerajaan Johor atas setahun mentadbir kerajaan negeri | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Dewan Negeri Johor, hari ini, menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor sempena setahun mentadbir kerajaan negeri.

 

Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali turut menyifatkan permuafakatan antara badan eksekutif bersama pentadbir dan penjawat awam membawa pengertian besar dalam menjayakan aspirasi kepimpinan di negeri ini.

 

“Sempena genap setahun kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dewan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah serta syabas kepada YAB Datuk Menteri Besar, para EXCO serta Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membimbing dan mengurus negeri ini sejak setahun yang lalu dengan jayanya.

 

“Sesungguhnya muafakat para eksekutif, dengan pentadbir dan penjawat awam amat besar maknanya dalam menjayakan aspirasi kepimpinan. Semoga ujian, segala pujian, kejayaan serta muafakat yang terbina akan menambah kebijaksanaan dan kekuatan kepimpinan ke arah Maju Johor 2030. Sesungguhnya Muafakat itu Berkat,” katanya ketika ucapan pemasyhuran pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Samsolbari juga memaklumkan persidangan pada hari ini, turut dihadiri pemerhati daripada Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC), Dewan Muda Johor (DMJ), Duta Perpaduan Johor serta DUN Kota Iskandar.

 

“Semoga pemerhati-pemerhati, yang juga pelapis-pelapis pada kepimpinan masa hadapan ini, akan dapat menimba ilmu dari lawatan pada hari ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor