DOMINASI AKAR UMBI BOLA SEPAK BUKTI KEJAYAAN AKADEMI JDT
Oleh: Farhan Khair Fawazul Khair

Kejayaan bersejarah Johor Darul Ta’zim FC III (JDT III) meraih pingat emas bola sepak pada SUKMA XXII Selangor 2026 membuktikan keberkesanan program pembangunan jangka panjang Akademi JDT dalam melahirkan bakat bola sepak elit.
#IskandarPuteri – Pencapaian bersejarah Johor Darul Ta’zim FC III (JDT III) meraih pingat emas bola sepak pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 membuktikan keberkesanan program pembangunan jangka panjang yang dilaksanakan Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan Akademi JDT dalam melahirkan bakat bola sepak elit melalui sistem pembangunan yang bertaraf dunia dan melengkapkan satu lagi pencapaian penting sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mendominasi kejohanan bola sepak belia di pelbagai peringkat umur dalam pertandingan domestik dan antarabangsa.
JDT III merupakan juara Piala Presiden (Bawah-20) selama empat tahun berturut-turut sejak 2022, manakala JDT IV muncul juara Piala Belia (Bawah-18) pada 2024 dan 2025, dan kini kedua-dua pasukan mendahului saingan edisi 2026.
Akademi JDT turut mencatat kejayaan dalam pelbagai kejohanan kategori Bawah-12 hingga Bawah-18 tahun termasuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (Piala KPM), Singapore Youth League, La Liga Youth Tournament, Supermokh Cup, Garuda International Cup dan JSSL Internationals.
Alistair Edwards, Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT memaklumkan pencapaian tersebut membuktikan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kelab berada pada landasan tepat mengikut rancangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sejak awal penubuhan JDT.
Kerjasama dengan kelab bola sepak yang mempunyai reputasi kukuh seperti Borrusia Dortmund dan Valencia sebelum ini turut meletakkan Akademi JDT ke satu tahap tertinggi dan dikenali di seluruh negara dengan pencapaian daripada peringkat Bawah-12 tahun hingga ke kumpulan umur yang lebih tinggi.
Javi Jorda, Pengarah Akademi JDT berpuas hati dengan hasil yang dituai daripada pelaburan dan pembangunan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Javi, bola sepak sering tertumpu kepada pasukan peringkat tertinggi, namun JDT tidak pernah melupakan pembangunan asas bola sepak dengan menyediakan generasi pemain bola sepak untuk masa hadapan.
Keberkesanan usaha yang telah dilakukan JDT dengan memenangi pelbagai pertandingan kumpulan umur di seluruh negara termasuk pencapaian bersejarah memenangi pingat emas SUKMA menjadi motivasi untuk Akademi JDT terus melangkah ke hadapan.
Akademi JDT merupakan satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuhnya di dalam negara yang mempunyai pasukan daripada kategori Bawah-12 hingga Bawah-23 tahun dan JDT merupakan satu-satunya kelab bola sepak dalam negara yang memiliki Akreditasi AFC Dua Bintang untuk akademi bola sepaknya.
Luaskan Kuasamu Johor.
#JohorSafeZone
#AkademiJDT
#TheTMJeffect
#WeAreAMovement
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


