JOHOR SALUR RM47.13 JUTA KEPADA 235,545 PENERIMA RAYUAN BKJ FASA 4

Pelaksanaan rayuan ini melibatkan 21 kategori penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan baharu berkahwin, penjaja dan peniaga kecil, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim, keluarga miskin, penggerak komuniti, petugas serta sukarelawan. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM47.13 juta bagi rayuan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang akan memberi manfaat kepada 235,545 penerima di seluruh negeri ini.
Bantuan berkenaan dijadualkan mula disalurkan bermula minggu ketiga September ini, sekali gus memberi ruang kepada penerima yang layak untuk mendapatkan manfaat daripada peruntukan tambahan berkenaan.
Pelaksanaan rayuan ini melibatkan 21 kategori penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan baharu berkahwin, penjaja dan peniaga kecil, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim, keluarga miskin, penggerak komuniti, petugas serta sukarelawan.
Peruntukan tambahan ini diluluskan selepas Kerajaan Johor mengambil kira pelbagai rayuan dan maklum balas yang diterima sepanjang pelaksanaan BKJ Fasa 4 dengan setiap permohonan diteliti dan disemak bagi memastikan mereka yang memenuhi syarat tidak tercicir.
Keupayaan kewangan negeri yang semakin baik turut memberi ruang kepada Kerajaan Johor untuk mengembalikan lebih banyak manfaat kepada rakyat menerusi penambahbaikan serta peluasan inisiatif bantuan.
Pelaksanaan BKJ juga menjadi antara usaha Kerajaan Johor dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan membantu meringankan beban kos sara hidup Bangsa Johor.
Kerajaan Johor berharap bantuan ini dapat memberi manfaat serta sedikit sebanyak meringankan beban penerima, selain akan terus berusaha memastikan hasil kemajuan dan kemakmuran negeri dapat dikongsi bersama rakyat.
Terdahulu, YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan RM47.13 juta bagi rayuan BKJ Fasa 4 yang memberi manfaat kepada 235,545 penerima di seluruh Johor.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


