DUA PPS BAHARU DIBUKA, BEROPERASI DI MUAR


Sebanyak 1,104 keluarga terdiri 3,967 penduduk ditempatkan di 41 PPS di enam daerah yang terjejas akibat banjir di Negeri Johor, setakat ini | Sumber gambar APM Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Muar menjadi daerah terbaru dilaporkan dilanda banjir dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan beroperasi.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 12 tengah hari, memaklumkan dua PPS tersebut iaitu Dewan Serbaguna FELDA Gugusan Maokil dan SK LKTP FELDA Maokil 2 dibuka jam 10 pagi tadi.

 

Bagaimanapun, belum ada jumlah keluarga dan penduduk berserta lokasi asal mereka berikutan laporan di dua PPS tersebut masih sedang dikemaskini.

 

Setakat ini, sebanyak 1,104 keluarga terdiri 3,967 penduduk ditempatkan di 41 PPS di enam daerah yang terjejas akibat banjir.

 

Kesemua daerah tersebut adalah Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Muar.

 

PPS SK Gembut di Kota Tinggi berlaku pertambahan jumlah keluarga dan penduduk yang terjejas iaitu 12 keluarga dan 52 penduduk. PPS Kampung Bentong sedikit meningkat jumlah penduduk daripada 55 kepada 63 penduduk.

 

Sebanyak 58 keluarga terdiri 201 penduduk ditempatkan di PPS SMK Kahang di Kluang dalam laporan terkini berbanding 44 keluarga terdiri 157 penduduk pada jam 10 pagi.

 

PPS Balairaya Kampung Seberang Batu Badak di Segamat menyaksikan pertambahan iaitu sebuah keluarga terdiri lima penduduk.

 

Selain itu, tiga lagi PPS baharu dibuka di Segamat iaitu Balairaya Jalan Pemuda, Balairaya Kampung Tungku Tiga dan Balai Islam Kampung Gubah yang menempatkan keseluruhan lima keluarga dan 20 penduduk dari Kampung Tengah, Kampung Tungku Tiga dan Kampung Gubah.

 

Jumlah mangsa banjir di PPS SK Air Papan di Mersing turut melonjak daripada 15 keluarga terdiri 63 penduduk kepada 23 keluarga terdiri 109 penduduk.

 

Manakala di daerah Batu Pahat, PPS SK Sepakat Jaya dibuka dan beroperasi jam 10 pagi tadi bagi menempatkan dua keluarga terdiri 30 penduduk dari Kampung Parit Haji Kamisan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor