MANGSA BANJIR MENINGKAT KEPADA LEBIH 4,000 ORANG


Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Negeri Johor terus menunjukkan peningkatan dengan pengoperasian sebanyak 45 pusat pemindahan sementara bagi menempatkan mangsa | Sumber gambar Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Negeri Johor terus meningkat kepada 1,164 keluarga terdiri 4,207 penduduk.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 2 petang memaklumkan sebanyak 45 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi bagi menempatkan kesemua mangsa.

 

PPS SK Bandar Penawar, SK Gembut di Kota Tinggi; PPS Dewan Pusat Banjir JAKOA, Balairaya Kampung GSA Chamek di Kluang; Dewan Komuniti Tasek, Balairaya Jalan Pemuda di Segamat; Politeknik Mersing di Mersing menunjukkan trend pertambahan mangsa banjir.

 

Selain itu, empat PPS baharu dibuka dan beroperasi iaitu di GPW FELDA Medoi, SJKC Kampung Tengah dan Balairaya Kampung Jabi 1 di Segamat serta Dewan GDW FELCRA Bukit Kepong di Muar.

 

Setakat ini, enam PPS dibuka di Kota Tinggi diikuti Kluang (11), Segamat (19), Mersing (4), Batu Pahat (2) dan Muar (3).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor