DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR DIMASYHURKAN SEBAGAI CANSELOR UTHM


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-22 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM / Gambar Ihsan UTHM

 

BATU PAHAT — DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini dimasyhurkan sebagai Cancelor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu.

Pemasyhuran baginda selaku Canselor UTHM berlangsung pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-22 UTHM di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Kampus Induk.

Pada istiadat penuh gemilang itu, Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Hj Azmi Rohani pula dilantik sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu.

Pada Konvokesyen UTHM Ke-22 ini, seramai 4,484 graduan layak menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (PhD) seramai 128 graduan, Ijazah Sarjana (255 graduan), Ijazah Sarjana Muda (3,443 graduan) dan Sijil Diploma (658 graduan).

Pada sidang pertama istiadat terbabit, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr Mohd Sofi Osman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang akademik, pembangunan universiti dan penyelidikan serta modal insan.

Bekas Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Ir Ts Dr Wahid Razzaly pula menerima Anugerah Profeso Emeritus bagi menghargai sumbangan beliau kepada universiti dan negara terutama dalam bidang teknologi, kejuruteraan serta Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Turut menerima anugerah dalam Istiadat Konvokesyen UTHM kali ini ialah penerima Anugera Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Muhammad Faris Abdul Hadi yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi).

Anugerah sama turut disampaikan kepada Khoo Chun An, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Hajar Shahirah Che Ariffin dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina UTHM pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim.

Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-22 ini juga menyaksikan jumlah graduan universiti awam yang berpangkalan di Parit Raja, Batu Pahat ini mempunyai seramai 53,760 alumni.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor