KERAJAAN JOHOR AGRESIF TANGANI KONFLIK GAJAH – MANUSIA

Kerajaan Negeri Johor terus proaktif menangani konflik gajah-manusia melalui pembinaan Pusat Santuari Gajah Johor (JES) serta operasi translokasi demi keselamatan rakyat dan kelestarian habitat. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Pembinaan Pusat Santuari Gajah Johor (JES) dan Operasi Bersepadu Translokasi Gajah menjadi antara tindakan agresif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Johor bagi menangani isu konflik gajah-manusia, sekali gus menjamin keselamatan rakyat khususnya penduduk yang tinggal berhampiran habitat mamalia terbesar itu.
Selain itu, Kerajaan Johor juga turut menjalinkan kerjasama bersepadu dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bagi mencari solusi terbaik dalam menangani isu berkenaan yang dilihat menunjukkan trend peningkatan sejak tiga tahun lalu.
YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor memberitahu, jumlah kes konflik gajah-manusia di Johor meningkat daripada 103 kes pada tahun 2020 kepada 253 kes pada tahun 2024, dengan daerah Kluang merekodkan aduan tertinggi bagi isu kacau ganggu haiwan berkenaan.
Justeru itu, bagi memastikan isu ini ditangani dengan tuntas, Kerajaan Negeri telah menggerakkan kerjasama pihak PERHILITAN Semenanjung Malaysia dengan menyalurkan peruntukan khas bagi menangani konflik berkenaan.
Antara tindakan yang telah diambil ialah Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor di daerah Kluang sebagai lokasi pertama yang dilaksanakan bersama PERHILITAN Semenanjung Malaysia. Usaha ini membabitkan peruntukan khas sebanyak RM600,000 daripada Kerajaan Negeri bagi memperkukuh aspek logistik, keperluan teknikal dan sumber manusia bagi memastikan operasi itu dapat dijalankan sebagaimana yang telah dirancang.
Hasilnya, 17 ekor gajah berjaya dipindahkan ke habitat baharu yang bersesuaian telah dilaksanakan sehingga September ini berbanding hanya 10 ekor gajah yang ditranslokasikan pada tahun lalu. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat apabila operasi sama berskala besar akan dilaksanakan pada Oktober ini yang sebahagiannya akan dilakukan di daerah Kluang.
Inisiatif pembangunan Pusat Santuari Gajah Johor (JES) yang berkeluasan 72 hektar di tebing Hutan Simpan Gunung Panti, Kota Tinggi yang dilaksana oleh Kerajaan Negeri juga turut memainkan fungsinya sebagai pusat penyelidikan, pemulihan habitat serta penyelamatan gajah liar yang sering berkeliaran di kawasan tersebut.
Pendekatan agresif ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Johor dalam memastikan keselamatan rakyat, mengurangkan kerosakan tanaman serta pada masa sama melindungi sekitar 160 ekor gajah liar yang masih terdapat di negeri ini.
#JohorSafeZone
#GajahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor