KYPJ TERIMA KELULUSAN NAIK TARAF KOLEJ UNIVERSITI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ hadir menyampaikan Sijil dan Diploma kepada graduan KYPJ serta KKJ pada Majlis Konvokesyen KPYPJ ke-26. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#KotaTinggi – Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), institusi pendidikan milik penuh Kerajaan Negeri secara rasmi menerima kelulusan pendaftaran sebagai kolej universiti daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 7 Oktober lalu.

 

Perkembangan tersebut seterusnya akan dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor oleh Kerajaan Negeri bagi memohon perkenan menamakan institusi itu sebagai kolej universiti secara rasmi.

 

Kelulusan naik taraf kepada KYPJ yang bakal beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi, menjadi simbol kejayaan besar buat Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan tinggi selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor supaya mutu pendidikan terus dipertingkat ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing.

 

Kerajaan Negeri dengan pendekatan ‘Whole-of-Government’ melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bersama KPT berjaya memastikan agenda menaik taraf KYPJ sebagai kolej universiti berjalan lancar sekali gus bakal membuka lembaran baharu dalam aspek pembangunan modal insan Johor di peringkat negeri malah di pentas antarabangsa.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri menzahirkan pujian kepada pengurusan tertinggi KYPJ atas komitmen memperkukuh kualiti akademik, pentadbiran dan infrastruktur bagi membolehkan institusi berkenaan bersedia melangkah ke fasa baharu dengan penawaran program Ijazah Sarjana Muda bermula Februari tahun depan.

 

Untuk rekod, lebih RM10 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri dan YPJ bagi menaik taraf infrastruktur KYPJ dan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) di bawah Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) termasuk RM3.8 juta untuk menaik taraf Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) di KYPJ.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ hadir menyampaikan Sijil dan Diploma kepada graduan KYPJ serta KKJ pada Majlis Konvokesyen KPYPJ ke-26 di Dewan Besar KYPJ, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#KYPJ
#KKJ
#KPYPJ
#YPJ
#Konvokesyen26
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor