TIGA STRATEGI PERKUKUH AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir ke Majlis Perasmian Karnival Agro Johor 2025. | Foto MDJ Nurina Aisyah

#BatuPahat – Kerajaan Johor terus memperhebat usaha untuk terus memperkukuh sektor keterjaminan makanan di negeri ini melalui cadangan pelaksanaan strategi bersepadu bagi memastikan sektor pertanian kekal berdaya saing dan berimpak tinggi.

 

Tiga strategi utama yang dicadangkan bagi memperkukuh pelaksanaan Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor ialah penubuhan kumpulan pemikir atau ‘Think Tank’ yang akan berperanan meneliti serta memperhalusi penggunaan teknologi terkini termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor pertanian negeri.

 

‘Think Tank’ ini akan menghimpunkan pemegang taruh yang meliputi ilmuwan, pakar, pemain industri serta wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memberi pandangan secara komprehensif kepada Kerajaan Negeri dalam menentukan hala tuju pembangunan pertanian Johor dengan berasaskan penggunaan teknologi terkini.

 

Selain itu, kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga amat diperlukan bagi memperoleh peruntukan dan data, khususnya daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Ia bagi memastikan usaha memperkasakan sektor keterjaminan makanan di negeri dapat disokong dengan dana kewangan dan maklumat tepat.

 

Kejayaan Agenda Keterjaminan Makanan di Johor juga memerlukan kerjasama erat serta sokongan padu daripada seluruh Bangsa Johor, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pertanianuntuk turut bersama menggembleng tenaga bagi memastikan kejayaan pelaksanaan agenda ini di setiap peringkat.

 

Cadangan yang digerakkan ini secara tidak langsung akan memastikan sasaran peningkatan pengeluaran tiga subsektor utama seperti buah-buahan sebanyak 900,000 tan metrik setahun; sayur-sayuran 190,000 tan metrik setahun dan perikanan akuakultur 40,000 tan metrik setahun akan mampu dicapai menjelang tahun 2027.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir ke Majlis Perasmian Karnival Agro Johor 2025 di Padang Kawad Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hari ini.

 

#JohorSafeZone
#KarnivalAgroJohor
#PertanianJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor