KERAJAAN JOHOR TUBUH ‘TASKFORCE’ PERKUKUH KESELAMATAN SEKOLAH

‘Taskforce’ ini dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi meneliti secara menyeluruh mengenai punca kejadian serta mengenal pasti penambahbaikan termasuk melibatkan aspek pergerakan keluar masuk kenderaan di kawasan sekolah. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan ‘taskforce’ bagi memperkukuh tahap keselamatan di semua sekolah di seluruh negeri ini, susulan insiden kemalangan melibatkan seorang pelajar di daerah Batu Pahat, baru-baru ini.

 

‘Taskforce’ ini dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi meneliti secara menyeluruh mengenai punca kejadian serta mengenal pasti penambahbaikan termasuk melibatkan aspek pergerakan keluar masuk kenderaan di kawasan sekolah.

 

Melalui inisiatif ini, pemantauan akan dipertingkat termasuk penguatkuasaan garis panduan sedia ada yang mewajibkan setiap kenderaan perlu mendaftar di pos keselamatan sebelum memasuki kawasan premis sekolah.

 

Selain itu, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut diminta meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta memastikan pengurusan trafik di sekolah sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan selamat, terutama ketika waktu puncak sesi persekolahan harian.

 

Pada masa sama, sokongan psikologi akan turut dilaksanakan melibatkan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga mangsa serta pelajar sekolah yang terkesan dengan insiden berkenaan dan ia akan dilakukan dengan kerjasama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga akan melancarkan Kempen Sekolah Selamat pada Jun ini yang merangkumi keseluruhan aspek keselamatan murid termasuk di dalam dan luar kawasan sekolah bagi memastikan keadaan persekitaran persekolahan sentiasa selamat dan terjamin.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor ditemui media selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor