IPU DITENTUKAN NILAI SUB-INDEKS PENCEMAR TERTINGGI ENAM PARAMETER

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menjelaskan enam parameter berkenaan adalah habuk halus PM₂.₅, habuk halus PM₁₀, ozon (O₃), karbon monoksida (CO), sulfur dioksida (SO₂) dan nitrogen dioksida (NO₂). | Foto JAS Negeri Johor
#IskandarPuteri – Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di sesuatu lokasi tidak ditentukan berdasarkan satu jenis pencemar atau keadaan udara yang kelihatan berjerebu semata-mata, sebaliknya berdasarkan nilai sub-indeks tertinggi daripada enam parameter pencemar yang dipantau secara berterusan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menjelaskan enam parameter berkenaan adalah habuk halus PM₂.₅, habuk halus PM₁₀, ozon (O₃), karbon monoksida (CO), sulfur dioksida (SO₂) dan nitrogen dioksida (NO₂).
Setiap parameter mempunyai tempoh purata berbeza sebelum kepekatannya ditukarkan kepada nilai sub-indeks, dengan PM₂.₅ dan PM₁₀ berdasarkan purata 24 jam, karbon monoksida lapan jam, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida satu jam, manakala ozon mengambil kira purata satu jam dan lapan jam.
Nilai sub-indeks bagi setiap parameter kemudiannya dibandingkan sebelum nilai tertinggi ditetapkan sebagai bacaan IPU bagi stesen pemantauan berkenaan.
Sebagai contoh, jika PM₂.₅ merekodkan sub-indeks 165, PM₁₀ pada 90 dan ozon pada 70, bacaan IPU stesen tersebut adalah 165 kerana PM₂.₅ mencatatkan nilai tertinggi dan tidak bermaksud semua parameter berada pada paras yang sama.
Keadaan persekitaran yang kelihatan lebih berjerebu juga tidak semestinya menunjukkan bacaan IPU lebih tinggi kerana jarak penglihatan boleh dipengaruhi faktor meteorologi termasuk kelembapan, kabus, keadaan atmosfera serta arah dan kelajuan angin.
Bacaan IPU setiap stesen mencerminkan status kualiti udara di kawasan pemantauan berkenaan dan orang ramai disaran merujuk bacaan stesen yang berkaitan dengan lokasi masing-masing bagi mendapatkan gambaran keadaan udara semasa.
#JohorSafeZone
#IPUJohor
#IndeksPencemaranUdara
#FenomenaElNino
#Jerebu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



