JDT MAHU PAMER TAHAP TERTINGGI DALAM AKSI PRA-MUSIM


Persiapan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi perlawanan persahabatan pra-musim 2023 di Dubai, dalam keadaan sangat baik, kata Pengurus merangkap Ketua Jurulatihnya, Esteban Solari.

 

ISKANDAR PUTERI — Persiapan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi perlawanan persahabatan pra-musim 2023 di Dubai, dalam keadaan sangat baik, kata Pengurus merangkap Ketua Jurulatihnya, Esteban Solari.

 

Menurut beliau, barisan kejurulatihan telah bertemu dengan setiap pemain secara individu untuk membuat penilaian keadaan fizikal dan memahami posisi bersesuaian di atas padang.

 

“Kami menumpukan perhatian terhadap perkara itu. Kini kami sudah memulakan pertandingan dan akan melihat potensi terbaik yang kami boleh keluarkan daripada setiap pemain dan kami gembira dengan permulaan persiapan ini,” kata beliau dalam satu video berdurasi 2 minit 48 saat disiarkan dalam halaman rasmi JOHOR Southern Tigers semalam.

 

Solari berkata, sejak daripada awal, beliau telah menyatakan secara jelas kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang tempoh pra-musim di Dubai.

 

“Apa yang penting adalah mereka faham tentang sistem permainan kami dan semua selesa untuk memberikan potensi terbaik mereka.

 

“Kami bekerja ke arah ketersediaan fungsi permainan, bagaimana hendak melakukan ‘build up’, bagaimana mahu mencipta rentak permainan dan juga sudah pasti bagaimana mahu bertahan.

 

“Inilah yang kami lakukan ketika ini dan saya rasakan pasukan menunjukkan respons yang baik setiap hari dan hari esok akan menjadi hari yang penting buat kami,” kata beliau.

 

Bercakap mengenai jangkaan daripada perlawanan persahabatan pra-musim menentang pasukan yang kuat termasuk Juara Liga Rusia, Solari berkata, JDT merupakan kelab yang mempunyai standard tinggi.

 

“Setiap masa kami mahu memperbaiki prestasi dan ini adalah isu utama apabila kami membuat keputusan untuk datang ke sini (Dubai) untuk bertemu pasukan yang mempunyai pemain yang baik dan mempunyai posisi yang baik dalam liga seperti kelab Rusia.

 

“Supaya kami boleh memperbaiki permainan kami kerana ia juga adalah pembelajaran buat kami dan boleh membantu pasukan untuk berkembang. Kini saya di sini, saya juga mahu pemain mempunyai ‘grow mindset’.

 

“Bermaksud mereka perlu belajar dari setiap perlawanan dan mereka perlu bekerja keras untuk mencapai daya tahan kerana ia adalah penting untuk bermain bola sepak,” kata beliau lagi.

 

Pada akhirnya, Solari berkata, JDT mahu bertanding dan memenangi perlawanan tetapi lebih penting beraksi dengan pasukan pada tahap yang tinggi.

 

JDT bakal bertemu FC Rostov pada hari ini, diikuti kelab dari UAE pada 28 Januari, FC Levski Sofia (31 Januari), FC Lokomotiv Moscow (2 Februari) dan FC Zenit St. Petersburg (6 Februari).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor