RMMJ, BANTUAN PERUMAHAN KASIH JOHOR JIMATKAN PEMBELI HINGGA RM167,000

Secara kasar, pembeli rumah pertama RMMJ berpotensi menikmati manfaat dan penjimatan keseluruhan melebihi RM62,000 sehingga RM167,000 merangkumi subsidi rumah, bantuan beli rumah pertama, bantuan masuk rumah serta tanggungan kos guaman dan pindah milik. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Pendekatan menyeluruh Kerajaan Johor dalam sektor perumahan terus memperlihatkan komitmen bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri menerusi pelaksanaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang kini turut dilengkapkan dengan Bantuan Perumahan Kasih Johor.
Menerusi RMMJ, rakyat Johor akan berpeluang memiliki rumah pada harga dari serendah RM42,000 sehingga RM300,000 sekali gus membuka akses pemilikan kediaman kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan B40, M40, pasangan muda dan pembeli rumah pertama.
Setiap pembeli rumah RMMJ juga secara realitinya turut menerima subsidi sama ada menerusi Kerajaan Johor atau pihak pemaju bagi memastikan harga jualan kekal berada pada kadar mampu milik, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Menurutnya, rumah RMMJ yang dijual pada harga antara RM42,000 hingga RM150,000 sebenarnya mempunyai kos pembangunan lebih tinggi dengan subsidinya ditanggung oleh Kerajaan Negeri atau pemaju yang dianggarkan sekitar RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap unit.
Selain itu, pembeli rumah pertama juga turut layak menerima Bantuan Perumahan Kasih Johor melibatkan bantuan beli rumah pertama sebanyak RM5,000 selain bantuan masuk rumah RM2,000.
Malah, terdapat juga kategori rumah RMMJ yang menawarkan tanggungan penuh kos Perjanjian Jual Beli (SPA), yuran guaman serta urusan pindah milik oleh pihak pemaju yang dianggarkan bernilai antara RM5,000 sehingga RM10,000.
Secara kasar, pembeli rumah pertama RMMJ berpotensi menikmati manfaat dan penjimatan keseluruhan melebihi RM62,000 sehingga RM167,000 merangkumi subsidi rumah, bantuan beli rumah pertama, bantuan masuk rumah serta tanggungan kos guaman dan pindah milik.
Bagi pembeli RMMJ di Bandar Dato’ Onn, Siti Nur Aisyah Kamal, 32, berkata skim bantuan yang diperkenalkan Kerajaan Johor ini sememangnya memberi kelegaan besar kepada golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama tanpa perlu menanggung beban kewangan terlalu tinggi.
Menurutnya, bantuan beli rumah pertama sebanyak RM5,000 telah banyak membantu mengurangkan kos berkaitan urusan dokumentasi dan bayaran guaman yang sebelum ini menjadi antara perkara paling membebankan pembeli baharu.
Seorang lagi penerima, Mohamad Hafiz Rahman, 30, berkata peluang memiliki rumah melalui RMMJ memberi keyakinan kepada beliau dan keluarga untuk merancang kehidupan yang lebih stabil selepas bertahun-tahun mendiami rumah sewa.
Pada masa sama, proses permohonan RMMJ juga tampil lebih mudah menerusi penggunaan sistem eRumah Johor yang membolehkan permohonan dibuat secara dalam talian dengan hanya menggunakan lima dokumen asas tanpa sebarang bayaran pendaftaran.
#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#PerumahanKasihJohor
#RumahMampuMilikJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



