UTHM JALIN KERJASAMA DENGAN HNN


Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)Prof Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim menandatangani Memorandum Perjanjian bersama Naib Presiden Hubungan Antarabangsa dan Diversiti University of Applied Sciences Heilbronn (HNN) Jerman, Prof Ruth Fleuchaus di Perpustakaan Tunku Tun Aminah / Foto Ihsan UTHM.

 

BATU PAHAT — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah ke persada antarabangsa apabila menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan University of Applied Sciences Heilbronn (HNN) Jerman.

Perjanjian kedua-dua pihak yang berlangsung di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM itu akan merangkumi jalinan kerjasama untuk program sarjana mod penyelidikan.

Naib Canselor UTHM, Prof Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim,usaha sama berkenaan selari dengan aspirasi universiti yang berpangkalan di Batu Pahat itu untuk menjadi Global Technopreneur University menjelang 2030.

“Menerusi MoA ini, pelajar UTHM dan HNN dalam program ini akan memperolehi Sarjana Mekatronik dan Robotik dari HNN manakala Sarjana Kejuruteraan Mekanikal atau Sarjana Kejuruteraan Elektrik dari pihak UTHM.

“MoA ini juga diharap dapat meningkatkan visibiliti kedua-dua universiti di platform antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di laman sesawang UTHM.

Pada majlis itu, UTHM yang diwakili Dr Ruzairi saling menurunkan tandatangan bersama Naib Presiden Hubungan Antarabangsa dan Diversiti HNN, Prof Ruth Fleuchaus.

Turut hadir ialah deligasi HNN yang terdiri daripada Dekan Fakulti Mekanik dan Elektronik HNN, Prof Dr Ing Carsten Wittenberg; Pengarah Antarabangsa HNN, Prof Dr Ing Ansgar Meroth; Ketua Program Mekatronik dan Robotik HNN, Prof Dr Ing Uwe Gleiter dan Penyelaras Antarabangsa HNN, Evelyn Teng.

Sementara itu, UTHM diwakili Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) Prof Madya Ir Ts Dr Bukhari Manshoor; Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Prof Madya Dr Rosli Omar dan Penyelaras MoA Double Degree UTHM-HNN, Prof Madya Ir Dr Ing Low Cheng Yee.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor